Peperiksaan Percubaan SPM Pulau Pinang 2018 Kertas 2
PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM PULAU PINANG 2018
KERTAS 2
Soalan 1: Rumusan
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang manfaat tarian sebagai medium perkembangan remaja dan cara-cara menggalakkan penyertaan tarian di sekolah.
Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Petikan ini membincangkan faedah tarian sebagai medium perkembangan remaja di Malaysia.
Antara manfaat tarian sebagai medium perkembangan remaja ialah sahsiah dan jati diri remaja dapat dibentuk serta melahirkan individu yang berdisiplin tinggi. Mereka akan lebih berdikari dan terdidik untuk mengimbangi diri dalam pelajaran serta aktiviti kokurikulum yang disertai. Seterusnya, keberanian dan keyakinan seseorang individu untuk tampil di hadapan semasa membuat persembahan dapat dibina. Di samping itu, tarian juga menyatukan pelajar berbilang bangsa tanpa mengira kaum.
Cara-cara menggalakkan penyertaan tarian di sekolah ialah menubuhkan Kelab Tarian. Pertandingan tarian boleh dianjurkan. Selain itu, pihak sekolah boleh memberi peluang kepada pelajar untuk membuat persembahan semasa sambutan hari istimewa.
Kesimpulannya, semua pihak haruslah bekerjasama memartabatkan bidang tarian agar warisan kesenian dapat dikekalkan.
Soalan 2: Pemahaman
Soalan 2(a): Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Apakah maksud rangkai kata kemampuan individu?
Maksud rangkai kata kemampuan individu ialah kebolehan seseorang.
(ii) Pengarang mengatakan bahawa ibu bapa memainkan peranan penting untuk menggalakkan penyertaan anak-anak dalam bidang tarian. Nyatakan peranan-peranan tersebut.
Antara peranan ibu bapa menggalakkan anak-anak menyertai tarian ialah memberi sokongan dengan memberikan peluang kepada anak-anak untuk mengambil bahagian dalam seni tari. Ibu bapa juga perlu membantu anak-anak memilih bidang tarian yang diminati dan mempunyai hala tuju.
(iii) Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan untuk meningkatkan martabat bidang kesenian dan kebudayaan di Malaysia?
Pada pendapat saya, antara usaha yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan untuk meningkatkan martabat bidang kesenian dan kebudayaan di Malaysia ialah mengadakan kempen kesenian tahunan. Selain itu,pihak kerajaan boleh menganjurkan pelbagai jenis pertandingan yang berkaitan dengan bidang kesenian dan kebudayaan. Di samping itu, pihak kerajaan juga boleh menawarkan kursus bidang kesenian dan kebudayaan di universiti untuk memberi latihan yang profesional kepada pelajar yang meminati bidang kesenian.
Soalan 2(b): Petikan Prosa Moden
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Gambarkan keadaan anak-anak muda di kota mewah.
Jiwa anak-anak muda di kota mewah rapuh. Mereka dihanyutkan keseronokan hidup dengan memperdagangkan maruah dan peribadi. Mereka juga tidak segan silu menjual bahasa ibunda dan merosakkan agama yang murni. Anak-anak muda lelaki perempuan berpelesiran dalam pergaulan bebas. Mereka bergelak tawa dalam loghat yang direka-reka. Mereka menggunakan pelbagai istilah rojak yang dicampuradukkan dengan bahasa asing. Identiti dan jati diri mereka telah hilang.
(ii) Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang dapat diambil oleh ibu bapa untuk membendung keruntuhan akhlak generasi muda di kawasan bandar?
Pada pendapat saya, antara langkah yang dapat diambil oleh ibu bapa untuk membendung keruntuhan akhlak generasi muda di kawasan bandar ialah memberikan didikan agama dan moral kepada anak-anak supaya mereka berpegang teguh pada agama dan tidak melakukan sesuatu yang mengingkari perintah Tuhan. Selain itu, ibu bapa juga perlu mengambil berat tentang kehidupan anak-anak dengan sentiasa bertanya mereka tentang keadaan sekolah. Ibu bapa juga haruslah meluangkan masa untuk menemani anak-anak supaya mereka tidak bergaul dengan orang yang jahat dan melibatkan diri dalam gejala sosial negatif.
(iii) Huraikan satu persoalan yang terdapat dalam petikan tersebut dan satu persoalan lain daripada keseluruhan cerpen.
Salah satu persoalan yang terdapat dalam petikan tersebut ialah keruntuhan akhlak anak-anak muda. Sebagai bukti, anak-anak muda di bandar dihanyutkan keseronokan hidup dengan memperdagangkan maruah dan peribadi. Persoalan lain daripada keseluruhan cerpen pula ialah tanggungjawab seorang ibu terhadap anak. Sebagai bukti, bonda menasihati anaknya supaya melengkapkan diri dengan ilmu agama dan menguasai bahasa ibunda dengan baik sebelum berhijrah ke kota.
Soalan 2(c): Petikan Prosa Tradisional
Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata penjurit besar yang terdapat dalam petikan di atas.
Maksud rangkai kata penjurit besar yang terdapat dalam petikan di atas ialah pejuang yang gagah.
(ii) Apakah tindakan yang dilakukan oleh Kertala Sari sebaik sahaja ia sampai ke Melaka?
Kertala Sari singgah di luar kota. Dia menyamarkan dirinya sebagai orang Jawa. Dia berjalan keluar masuk kampung.
(iii) Sekiranya anda Kertala Sari, apakah cara yang dapat anda lakukan untuk menewaskan Laksamana?
Sekiranya saya Kertala Sari, saya akan menunggu saat yang sesuai untuk membunuh Laksamana. Saya juga akan meletakkan racun ke dalam makanan Laksamana untuk menewaskan Laksamana.
Soalan 2(d): Sajak
Baca petikan sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berdasarkan sajak tersebut, nyatakan cara-cara penyajak menzahirkan keinsafan atas dosa-dosa yang lalu kepada Tuhannya.
Berdasarkan sajak tersebut, antara cara penyajak menzahirkan keinsafan atas dosa-dosa yang lalu kepada Tuhannya ialah penyajak menangis sambil besujud kepada Tuhan. Penyajak juga melafazkan taubat dengan nafas yang sebak kepada Tuhan.
(ii) Dalam 2 baris terakhir sajak , penyajak menyatakan harapan agar dirinya tidak lupa bahawa dunia ini bersifat sementara.
Pada pandangan anda, apakah kesan-kesannya jika seseorang manusia itu sedar bahawa dunia ini bersifat sementara ?
Pada pandangan saya, antara kesan jika seseorang manusia itu sedar bahawa dunia ini bersifat sementara ialah seseorang itu tidak akan melakukan perkara yang mengingkari perintah Tuhan. Seseoran itu juga akan berpegang teguh pada agama dengan bersembahyang dan mengamalkan amalan yang baik dalam kehidupan.
(iii) Huraikan dua nilai murni yang terdapat dalam sajak ini.
Antara nilai murni yang terdapat dalam sajak ini ialah keinsafan. Sebagai bukti, penyajak menginsafi segala dosa-dosanya yang lalu. Selain itu, nilai yang kedua pula ialah keikhlasan. Sebagai bukti, penyajak bertaubat dengan penuh keikhlasan sehingga menitiskan air mata.
Soalan 3: Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa
Jawab semua soalan.
(a) Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah untuk menunjukkan perbezaan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.
(i) lengan - lengang
Lengan Faris berdarah kerana terkena kaca.
Jalan raya bandar itu lengang semasa waktu tengah malam.
(ii) timang - timbang
Ibu menasihati kami supaya tidak timang adik yang berumur setahun itu supaya tidak berlaku kemalangan.
Berat buah yang baru ditimbang oleh peniaga itu tidak tepat kerana alat timbang telah rosak.
(iii) trafik - tragik
Polis trafik yang rajin itu selalu mengawal trafik lalu lintas yang sibuk itu terutamanya pada waktu persekolahan.
Saya akan mengingati peristiwa tragik yang mengerikan itu sepanjang hidup.
(b) Tukarkan ayat aktif di bawah kepada ayat pasif tanpa mengubah maksud asalnya.
(i) Cikgu Hasnul mengajar pelajar tingkatan Lima Ceria mata pelajaran Sejarah pada setiap hari Sabtu.
Pelajar tingkatan Lima Ceria diajar oleh Cikgu Hasnul mata pelajaran Sejarah pada setiap hari Sabtu.
(ii) Pekerja kontrak telah menebang pokok rambutan yang reput itu petang tadi.
Pokok rambutan yang reput itu telah ditebang oleh pekerja kontrak petang tadi.
(iii) Kami membaiki motosikal pusaka kesayangan ayah di Bengkel Mutiara.
Motosikal pusaka kesayangan ayah kami baiki di Bengkel Mutiara.
(c) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan dari segi imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.
(i) Adik dapat habiskan dua puluh cucok sate yang dibeli oleh ayah dalam satu masa.
Kesalahan ejaan: cucuk
Kesalahan imbuhan: menghabiskan
(ii) Ayah menghadiahi senaskah novel kepada kakak sebagai tanda sayang terhadap anak sulungnya.
Kesalahan ejaan: senaskhah
Kesalahan imbuhan: menghadiahkan
(iii) Khairul engkar nasihat ayahnya supaya dia tidak menggaul dengan budak-budak nakal.
Kesalahan ejaan: ingkar
Kesalahan imbuhan: bergaul
(d) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.
(i) Keharmonian landskap di Putrajaya sungguh mempersonakan para-para pengunjung.
Kesalahan kata: keindahan
Kesalahan tatabahasa: para
(ii) Rumah tua itu masih boleh dibaik pulih demi untuk mengekalkan kesenian dan keaslian seni reka bentuknya.
Kesalahan kata: usang
Kesalahan tatabahasa: untuk
(iii) Kakitangan awam diwartakan supaya memakai baju batik tempatan di hari Khamis minggu bekerja.
Kesalahan kata: diarahkan
Kesalahan tatabahasa: pada
(e) Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti kemudian kemukakan satu peribahasa yang menggambarkan situasi yang terdapat dalam ayat-ayat berkenaan.
(i) Dahulu dia tidak mengendahkan teguran dan nasihat yang diberikan. Setelah dia mengalami kegagalan, barulah dia menyedari kesilapannya.
Sudah terhantuk baru terngadah
(ii) “Pagi tadi saya lihat adik-adik Raju bergaduh. Sekarang mereka sudah berbaik-baik semula,” kata Puan Mary.
Carik-carik bulu ayam, lama-lama akan bercantum juga
(iii) Semasa berkunjung ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri, Amran terpandang seorang tetamu yang paras rupanya seiras sahabat lamanya lantas dia menegurnya untuk berkenalan.
Pelanduk dua serupa
Soalan 4: Novel
Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut.
(i) Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip Talib
(ii) Di Sebalik Dinara karya Dayang Noor
(iii) Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin
(iv) Pantai Kasih karya Azmah Nordin
(v) Tirani karya Beb Sabariah
(vi) Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip
(vii) Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusop
(viii) Silir Daksina karya Md Nizar Parman
(a) Huraikan keistimewaan watak utama sehingga menimbulkan perasaan kagum dalam diri pembaca.
Novel yang telah saya belajar ialah Tirani hasil karya Beb Sabariah. Watak utama novel ini ialah Waheeda.
Antara keistimewaan Waheeda sehingga menimbulkan perasaan kagum dalam saya ialah Waheeda seorang yang berani menagmbil risiko untuk memajukan perniagaan. Waheeda berani menanggung risiko dengan membuat pinjaman baharu daripada tabung usahawan siswazah, Bank Pembangunan untuk membeli Chalet Iwana-Iwani yang ingin dijual oleh pemiliknya, Abdul Aziz Imran setelah melihat lokasi,potensi dan kemudahan yang terdapat di chalet itu. Akhirnya, Waheeda berjaya membeli chalet tersebut yang terletak di Cameron Highlands dan menukarkan namanya kepada Chalet Aya-Sajinah.
Saya juga berasa kagum akan Waheeda kerana dia seorang yang sabar semasa menghadapi tuduhan yang tidak benar. Walaupun suaminya yang bernama Zahid menuduh Waheeda mengadakan hubungan sulit dengan lelaki lain tetapi sebenarnya Waheeda hanya bersikap ramah mesra terhadap pelanggan yang menginap di chalet dia, Waheeda begitu sabar menangani sifat cemburu buta dan panas baran Zahid. Waheeda tidak bertengkar dengan suaminya. Dia berusaha untuk mendapatkan bukti untuk membuktikan kepada Zahid bahawa dia seorang yang taat kepada suaminya.
Di samping itu, Waheeda juga bersikap tabah apabila menghadapi keruntuhan dalam rumah tangga. Setelah Waheeda bercerai dengan suaminya Zahid dengan talak satu, Waheeda berasa amat sedih. Tetapi dia bersikap tabah dan tidak memilih untuk mengakhiri hidupnya. Dia telah membuat keputusan untuk mendapatkan rawatan dan khidmat pakar kaunseling daripada Dr. Qamariah di Pusat Rawatan Islam Kuala Lumpur. Sebagai seorang ibu tunggal, Waheeda tabah mendidik dan membesarkan anak perempuannya, Izzati.
Sifat-sifat Waheeda yang berani, sabar dan tabah dalam kehidupan amat mengagumi saya.
(b) Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan satu latar tempat bagi setiap novel tersebut.
Novel pertama yang telah saya pelajari ialah Leftenan Adnan Wira Bangsa hasil karya Abdul Latip Talib. Novel kedua yang telah saya pelajari pula ialah Tirani hasil karya Beb Sabariah.
Salah satu latar tempat yang terdapat dalam novel Leftenan Adnan Wira Bangsa ialah Bukit Candu. Leftenan Adnan telah diarahkan untuk bertugas di Bukit Candu yang terletak di kawasan berbukit di sebelah timur yang menghadap ke laut. Kapten Rix dan Leftenan Adnan telah mengatur persiapan bagi menentang tentera Jepun di Bukit Candu. Adnan berjanji akan mempertahankan Bukit Candu walaupun benteng sekeliling telah jatuh ke tangan Jepun. Pertahanan askar Melayu di Bukit Candu semakin meruncing akibat diasak tanpa henti oleh tentera Jepun. Akhirnya Jepun berjaya menawan Bukit Candu. Tentera Jepun telah mengambil giliran menikam tubuh Leftenan Adnan di Bukit Candu. Pengorbanan perajurit amat dihargai oleh penduduk kampung. Penduduk kampung telah menggali lubang untuk mengembumikan askar-askar yang mati syahid kerana mempertahankan negara di Bukit Candu.
Latar tempat yang terdapat dalam novel Tirani pula ialah Chalet Tajau Emas. Waheeda mengalami kecederaan pada muka dan hidung akibat digigit dan dicakar oleh monyet Belanda yang meluru masuk secara tiba-tiba ke kawasan Chalet Tajau Emas. Selain itu, Zahid terjumpa Waheeda di salah satu bilik penginapan pelanggan Chalet Tajau Emas yang bernama Dawood. Zahid membuat keputusan untuk tidak pulang bermalam di bilik tidur mereka yang berada di Chalet Tajau Emas disebabkan rasa marah dan cemburu butanya itu.
Comments
Post a Comment